01 June 2015

Melabur Dalam Unit Amanah Menggunakan KWSP



Masih ramai yang tidak tahu bahawa anda boleh menggunakan sebahagian simpanan KWSP anda untuk melabur dalam Unit Amanah. Walaupun demikian, anda perlu semak status kelayakan pengeluaran anda dahulu. Kelayakan ini ditentukan oleh umur dan simpanan asas yang perlu ada dalam akaun 1 anda. Hanya 20% daripada baki simpanan asas yang boleh dikeluarkan untuk pelaburan.

Untuk menyemak baki akaun KWSP anda, anda boleh dapatkan penyata akaun daripada cawangan-cawangan KWSP atau cara yang paling mudah ialah menggunakan i-Akaun dan semak secara online. Jika anda masih belum mendaftar i-Akaun, anda boleh hubungi KWSP pada waktu pejabat di talian 03-89226000 untuk bantuan. Proses mendaftar i-akaun adalah sangat mudah dan biasanya mengambil masa kurang daripada 15 minit. Setelah anda mendaftar, anda boleh login dan melihat penyata KWSP anda pada bila-bila masa saja.
 
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgNwNkaTt41oCqJXnAYgdLKIHCi4dpwqD5b_dnMETFL5dZ76VJ-UrkWWZVqbn5IrrmdfQUmUfOtbx6WPPhi-ufh3xjClFeiSgy9EaGK2lHnjBb5eXzQN80Ns3iwD-iSW_W7YLlWAp-beAE/s1600/Screen+Shot+05-31-15+at+11.32+AM.PNG
i-Akaun KWSP


Sila rujuk jadual di bawah untuk mengetahui kadar simpanan asas yang ditetapkan mengikut umur.


Age
(Years)
Basic Savings
(RM)
Age
(Years)
Basic Savings
(RM)
18 1,000 37 54,000
19 2,000 38 59,000
20 4,000 39 64,000
21 5,000 40 69,000
22 7,000 41 76,000
23 9,000 42 81,000
24 11,000 43 88,000
25 13,000 44 95,000
26 15,000 45 102,000
27 18,000 46 109,000
28 21,000 47 117,000
29 24,000 48 125,000
30 27,000 49 134,000
31 30,000 50 143,000
32 34,000 51 153,000
33 37,000 52 163,000
34 41,000 53 174,000
35 46,000 54 185,000
36 50,000 55 196,800



Contoh situasi:
Ahmad berumur 30 tahun dan mempunyai simpanan sebanyak RM50,000 dalam akaun 1 KWSP.
Jumlah yg boleh Ahmad laburkan ialah;
(Jumlah akaun 1 - Simpanan asas) x 20%
(RM50,000 - RM27,000) x 20% = RM4,600

Kelayakan pengeluaran Ahmad untuk pelaburan unit amanah ialah RM4,600

*Amaun minimum ialah RM1,000. Jika baki selepas pengiraan kurang daripada RM1,000, ia dikira tidak layak.

Jika anda berminat untuk mendapat penjelasan lanjut, anda boleh menghubungi saya menggunakan contact form di sebelah kanan. Sila sertakan nama, dan nombor telefon anda untuk saya hubungi semula.

Apa Itu Unit Amanah (Unit Trust)

Unit amanah adalah satu skim pelaburan yang mengumpul wang daripada ramai pelabur yang mempunyai objektif kewangan yang sama.

Dana ini diuruskan oleh sekumpulan pengurus dana profesional yang melaburkan wang terkumpul itu dalam portfolio sekuriti seperti saham, bon dan instrumen pasaran wang atau lain-lain sekuriti yang dibenarkan untuk mencapai objektif dana.

Pendapatan dana itu pula diperoleh daripada pelaburan sama ada dalam bentuk pengagihan pendapatan dan/ atau keuntungan modal. Pendapatan ini kemudian diagihkan sebagai wang ringgit atau unit kepada semua pemegang unit; mengikut pegangan unit masing-masing.


Maklumat untuk pelabur: Bergantung kepada prestasi dana, pelabur unit amanah mempunyai peluang untuk memperolehi keuntungan dalam bentuk keuntungan modal dan/ atau pengagihan pendapatan. 
Mekanisme Unit Amanah


Perkara yang perlu diberi perhatian dalam memilih unit amanah

Ketika memilih unit amanah, cari maklumat berkaitan dengan ahli lembaga pengarah dan tenaga pengurusan utama syarikat pengurusan dana tersebut. Anda perlu menilai kekuatan kewangan, rekod prestasi serta kepakaran syarikat dan kakitangannya. Carilah maklumat mengenai perkara ini kerana merekalah yang akan menguruskan wang anda.

Selain itu, beri perhatian kepada objektif dan strategi pelaburan dana, had pelaburan, portfolio semasa dan apa-apa ulasan mengenai prestasi terkini dana. Maklumat ini sepatutnya dapat memberi gambaran kasar mengenai tahap risiko dana tersebut.

Kaji prestasi dana pada masa lampau tetapi jangan terlalu menumpukan perhatian terhadap prestasi yang ditunjukkan dalam tempoh satu tahun atau kurang. Beri perhatian kepada prestasi yang konsisten pada jangka masa panjang. Tetapi, anda harus ingat bahawa prestasi dana pada masa lalu tidak menjamin prestasi yang baik pada masa akan datang.

Perhatikan jika ada ciri-ciri khusus dana itu yang mungkin tidak sesuai dengan keperluan dan keutamaan anda. Contohnya, dana tersebut mungkin mempunyai dasar tidak mengagihkan pendapatan, memerlukan nilai pelaburan minimum yang lebih tinggi daripada jumlah yang anda mampu atau terdapat sebarang peraturan mengenai belian dan jualan unit yang mungkin tidak bersesuaian dengan matlamat pelaburan anda.

Baca prospektus

Prospektus adalah satu dokumen yang sangat penting kerana ia menyatakan objektif pelaburan, strategi/ polisi pelaburan serta risiko dan ganjaran suatu dana unit amanah. Walaupun ia mungkin sukar kerana mengandungi sebahagian terma yang tidak difahami, anda mesti membacanya juga untuk menentukan sama ada matlamat dan sasaran anda adalah selari dengan dana itu. Sementara itu, anda boleh merujuk kepada penyata kewangan untuk menilai jika dana tersebut masih mengikut perancangan dan bagaimana prestasi semasanya.

Sebagai pelabur, anda sepatutnya mempertimbangkan faktor-faktor berikut apabila memilih suatu dana unit amanah:
  • Objektif pelaburan - perhatikan sama ada objektif pelaburan dana itu sesuai dengan objektif pelaburan anda.
  • Polisi pelaburan - jenis pelaburan dan strategi yang dibenarkan perlulah sama dengan pegangan dan prinsip anda.
  • Saiz dana itu dan aliran pertumbuhan
  • Sebarang sekatan pelaburan, seperti pelaburan minimum yang diperlukan.
  • Tahap risiko pelaburan - Ingat bahawa unit amanah tidak terlepas daripada risiko sepenuhnya.
  • Jenis dan jumlah yuran - dapat memberikan gambaran mengenai apa dan berapa jumlah yuran yang perlu dibayar di kemudian hari.
  • Prestasi dana seperti jumlah pulangan setahun, nilai aset bersih (NAV) iaitu nilai bagi setiap unit, nisbah belanja, pengagihan pendapatan kepada pelabur dan pertumbuhan aset. Ini untuk membolehkan anda mengukur prestasi dana selama ini.
  • Portfolio pelaburan terkini - supaya anda dapat mengetahui peratusan pegangan bagi setiap jenis aset.
  • Maklumat berkaitan Lembaga Pengarah, kumpulan pengurusan utama (terutamanya pengurus dana), juruaudit dan pemegang amanah.

Kesimpulan

Sungguhpun terdaoat undang-undang dan garis panduan untuk membantu melindungi pelabur, menjadi tanggungjawab anda sendiri untuk menilai kesesuaian, prestasi dan keupayaan sesuatu dana pelaburan untuk membuat keputusan sama ada hendak melabur atau tidak berdasarkan keadaan dan toleransi anda terhadap risiko.