31 May 2015

Kaedah Kiraan Zakat Saham

Artikel ini dipetik dari Utusan Online
Soalan:

Saya adalah orang awam yang tidak tahu banyak tentang dunia saham. Namun, saya ada kenalan yang bermain saham di bursa saham dan saya sendiri ada juga menyimpan dalam saham amanah. Seingat saya, dahulu saya mengira zakat saham dengan melihat kepada nilai unit terendah. Maka, bolehkah diperjelaskan kaedah pengiraan zakat saham pada hari ini?

Jawapan:

Terlebih dahulu, suka saya nyatakan bahawa jawapan ini disediakan bagi khalayak pembaca awam yang tidak begitu arif tentang permainan saham. 

Ini kerana, saya difahamkan di Bursa Saham terdapat beberapa produk yang terminologinya agak sukar difahami orang awam, seperti ekuiti, derivatif, offshore, pasaran Islam (Islamic market) dan sebagainya. Oleh itu, bagi pembaca yang memang arif bab saham, maka anda boleh menyesuaikannya berdasarkan keadaan dan keperluan. 

Umumnya ada tiga jenis saham yang dimiliki dan diceburi oleh kita pada hari ini.
Pertama, saham yang dilaburkan ke dalam Bursa Saham. Saham ini dijual beli sepanjang tahun. Kedua, saham yang disimpan hingga ke hujung tahun. Saham ini biasanya bersifat Saham Amanah dan penyimpan saham mendapat untung berdasarkan harga saham pada hujung tahun berkenaan.
Ketiga, saham yang dilaburkan ke dalam syarikat, yakni orang yang melaburkan saham atau pemodal itu dinamakan sebagai pemegang saham.

Mari kita selami satu demi satu. Pertamanya, bagi saham yang dimainkan di Bursa Saham, maka zakat dikenakan berdasarkan keuntungan yang diperolehi. Maknanya, bila dijual dan dapat keuntungan, maka keuntungan itulah yang dizakatkan. Pokok saham (modal), hanya dikenakan zakat pada hujung tahun sahaja. Maknanya di sini, saham yang dijual beli sepanjang tahun, pengiraannya adalah sama seperti zakat pendapatan.

Contoh: Puan Isma bermain saham di Bursa Saham Kuala Lumpur. Berikut adalah paparan untung rugi transaksi saham beliau bagi tahun 2010. Kita andaikan, Puan Isma sentiasa membeli saham (modal atau pokok) pada kadar tetap RM10/Unit dan jumlah unit dimiliki beliau adalah 10,000 unit.
Transaksinya berlaku beberapa kali dalam setahun. Selepas membeli saham, beliau menunggu hingga harga naik, dan ketika itu beliau menjualnya. Namun, ada juga keadaan tertentu, Puan Isma rugi kerana terpaksa menjual saham di bawah paras harga belian. 

Hal ini boleh berlaku, demi mengelakkan kerugian yang lebih besar.

Berikut ini transaksi saham Puan Isma bagi tahun 2010 di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Oleh itu, bagi tahun 2010, jumlah keuntungan keseluruhan bagi saham Puan Isma adalah RM100,000. Oleh itu, zakat saham Puan Isma bagi tahun 2010 adalah, RM100,000 X 2.5 peratus sama dengan RM2,250. Manakala, pokok atau modal saham beliau sebanyak RM100,000 hanya akan dikenakan pada hujung haul, yakni RM100,000 X 2.5 peratus iaitu RM2,500.
Seandainya jualan pada 31 Dis. 2010 adalah rugi, misalnya seperti berikut:
* 31 Dis. 2010
* Jual RM9.50/Unit
* 10,000 X RM9.50 > RM95,000
* Baki selepas jualan> -RM5,000.

Maka, Puan Isma tidak dikenakan zakat ke atas baki jualan, namun dia masih dikenakan zakat ke atas pokok saham atau modal saham yang berjumlah RM9,500. Ini kerana, modal RM9,500 itu hakikatnya sudah setahun dimiliki, yakni cukup haul dan ia wajib dizakatkan atas sandaran zakat wang yang melebihi haul.

Walau bagaimanapun, hanya saham yang dilaburkan ke dalam kaunter patuh syariah sahaja yang layak dizakatkan keuntungannya. Jika dilaburkan dalam kaunter haram atau syubhah, maka hanya pokok atau modal saham sahaja yang dikenakan zakat pada penghujung tahun berkenaan, yakni keuntungannya tidak dizakatkan.

Kedua, saham yang disimpan sepanjang haul/tahun, maka hendaklah diambil harga saham pada hujung haul (biasanya hujung tahun) berkenaan. Ia tidak melihat kepada harga unit terendah saham sebagaimana yang diamalkan sebelum ini.

Contoh: Jiwa membeli Saham Amanah pada 1 Januari 2010 dengan nilai RM5/Unit. Jumlah keseluruhan saham beliau adalah 10,000 unit > RM50,000. Pada hujung tahun 2010 (31 Dis. 2010), harga seunit ialah RM5.50/ Unit. Maka, zakat saham Jiwa ialah, 10,000 unit X RM5.50 > 55,000 X 2.5% > RM1,375.

Seandainya pada hujung tahun itu harga seunit saham adalah lebih rendah daripada harga belian, maka hendaklah dilihat sama ada masih berada di atas paras nisab atau tidak. Jika masih melebihi nisab, maka masih wajib dizakatkan. 

Contohnya:
Harga belian 1 Jan 2010 > RM5/ Unit
Harga pada 31 Dis 2010 > RM4.50/ Unit
Jumlah saham > 10,000 unit
Maka, RM4.50 X 10,000 unit > RM45,000 dan hakikatnya pemilik saham rugi, kerana semasa belian dahulu nilainya RM50,000.

Namun, oleh kerana RM45,000 itu masih di atas paras nisab, maka wajiblah ia dikeluarkan zakat, iaitu RM45,000 X 2.5 % > RM1,125.

Ketiga, saham yang dilaburkan dalam syarikat, yakni sebagai pemegang saham. Maka, zakat di sini hendaklah dikeluarkan sebagai pemegang saham berdasarkan kaedah kiraan zakat perniagaan. Kesimpulannya, ketiga-tiga jenis saham ini mempunyai kaedah pengiraan yang tersendiri, sama ada disandarkan kepada kaedah keuntungan, harga hujung tahun dan zakat perniagaan. Wallahu a'lam.

30 May 2015

Apakah ciri-ciri Skim Cepat Kaya?

  1. Seseorang pelabur boleh melabur seberapa banyak wang yang dikehendaki dan pihak pengurus skim akan membayar balik keuntungan mengikut peratus yang ditetapkan. 
  2. Semua pelaburan yang dibuat selalunya dicatatkan dalam buku senarai pelabur dan resit akuan terima wang juga tidak dikeluarkan. Urus niaga skim ini berdasarkan prinsip percaya mempercayai dan tiadasurat perjanjian khusus tentangnya.
  3. Semua pelaburan adalah dibuat dalam bentuk wang tunai.
  4. Pihak pengurus skim juga melantik wakil-wakil dan ajen-ajen di beberapa tempat bagi mendapatkan pelabur-pelabur baru. Setiap wakil    atau ajen mendapat bayaran sagu hati mengikut kadar yang dipersetujui berasaskan jumlah pelaburan yang dipungut.
  5. Pihak pengurus skim tidak terikat untuk membayar balik wang pelabursekiranya pelaburan berkenaan mengalami kerugian.
  6. Skim ini akan terus beroperasi sekiranya pada setiap masa ada pelabur baru yang melabur. Jika tiada, pihak pengurus akan menghadapi masalah untuk membuat pembayaran keuntungan kepada pelabur yang sedia ada. Apabila hal ini terjadi (tiada lagi pelabur baru) maka pelabur yang sedia ada yang baru menyertai skim ini tidak akan mendapat pulangan dan akan kehilangan wang yang telah dilaburkan.
  7. Tiada bukti menunjukkan pihak pengurus skim ini melaburkan wang yang terkumpul ke dalam mana-mana institusi kewangan atau pelaburan saham dalam atau di luar negara.

    Sumber: Portal Rasmi Muamalat dan Kewangan Islam
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgqinU5cQ6LmXYnqZLuw15a0ug5LO07RD4r3YRenaRY25Wiichj3mKtibJIpQHYFDB3N9BY9_NiSxsEhqw4XxaWVIEDjJFAHO9QZSF6v6CJ14mhsIeaFOyfhMq4OBi-21e07mRiIXROpTs/s1600/skimcepatkayap.jpg

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiB1CzAVswdReS-KwvOVgCH1XQWnGpAncBRYzUPNyIolk7jAICx3FfWt4T-laKYpQf5ppvCHI83lb71hcJtx4NzF6WdjG5YbIPAJLdsxF12vao8Js4gX7t4Ze4CEs_p8oBW-SLnZNKGLoQ/s1600/2012-08-07+20.22.10.jpg

7 Perkara Yang Anda Perlu Pertimbangkan Sebelum Anda Membuat Keputusan Untuk Melabur

  1. Tetapkan objektif pelaburan anda dan pastikan ia selaras dengan risiko yang sanggup anda ambil.
  2. Minta khidmat nasihat daripada perunding kewangan professional berlesen. Bincang tentang matlamat pelaburan anda dan bagaimana anda boleh mencapai matlamat tersebut.
  3. Nilaikan produk-produk pelaburan yang sesuai dengan anda. Ini boleh dilakukan apabila anda telah faham tentang matlamat pelaburan anda dan risiko yang sanggup anda ambil.
  4. Melabur di pelbagai tempat berbeza (diversification). Jangan laburkan semua wang anda ke satu tempat sahaja. Ini dapat mengurangkan risiko keseluruhan pelaburan anda. Semua pelaburan ada risiko. Pelaburan yang berisiko tinggi biasanya memberikan pulangan yang tinggi dan begitu juga sebaliknya.
  5. Fahamkan dengan terperinci tentang sesuatu pelaburan daripada prospektus. 
    • Saham
      Apakah latar belakang syarikat tersebut?
      Apakah ia menguntungkan?
      Bagaimana kedudukan hutang syarikat tersebut?
      Adakah syarikat tersebut mempunyai asset-asset yang boleh dicairkan (liquidity)?
    • Saham Amanah (Unit Trusts)
      Apakah jenis pelaburan yang terlibat? (Equity, bond, sukuk, properties, dll)
      Prestasi pengurus tabung (fund manager), adakah mereka berlesen?
      Apakah risiko-risiko pelaburan  tersebut?
  6. Pastikan setiap tawaran pelaburan berdaftar dan diluluskan operasinya oleh Suruhanjaya Sekuriti. Jika tidak ada kelulusan, ia adalah pelaburan haram dan risiko kehilangan semua wang pelaburan anda adalah tinggi. Pelaburan berdaftar bermaksud, syarikat pelaburan atau pun skim pelaburan tersebut boleh menerima deposit daripada orang awam. Ia juga bermakna mereka mempunyai info mencukupi yang disiarkan dalam prospektus untuk keperluan pelabur membuat keputusan.
  7. Semak lesen dan pendaftaran syarikat atau skim pelaburan tersebut. Anda juga perlu semak lesen individu yang mengesyorkan sesuatu produk pelaburan kepada anda. Hanya individu berlesen boleh menjual produk pelaburan kepada orang awam.

Mengenai Pelaburan


Amalan pelaburan bukanlah suatu yang asing di kalangan rakyat Malaysia. Namun, seringkali pelabur dikelirukan oleh pihak-pihak yang mengambil kesempatan atas kekurangan ilmu pengetahuan tentang pelaburan. Akhirnya, pelabur terpaksa berputih mata atas wang yang lebur begitu sahaja. Keadaan ini boleh diselesaikan jika setiap pelabur mengambil langkah untuk mengkaji dahulu serba sedikit tentang portfolio sesuatu pelaburan dan meningkatkan pengetahuan umum tentang pelaburan. Di Malaysia, pelabur boleh merujuk kepada perunding kewangan professional, Suruhanjaya Sekuriti atau pun Bank Negara Malaysia.


Apakah Itu Pelaburan?

Pelaburan adalah salah satu cara untuk membuatkan wang anda bekerja untuk anda. Sebelum anda melabur, kaji dan buat sedikit analisis berkaitan syarikat dan portfolio pelaburan berkenaan.

Terdapat pelbagai produk pelaburan di pasaran. Antara perkara penting yang anda perlu tahu ialah risiko-risiko pelaburan tersebut. 

Sebelum membuat sesuatu pelaburan, tetapkan apakah objektif pelaburan anda dan sejauh mana risiko yang sanggup anda ambil supaya anda dapat menjangka pulangan yang bakal anda dapat daripada pelaburan tersebut.