Artikel ini dipetik dari Utusan Online
Soalan:
Saya adalah orang awam yang tidak tahu banyak tentang dunia saham.
Namun, saya ada kenalan yang bermain saham di bursa saham dan saya
sendiri ada juga menyimpan dalam saham amanah. Seingat saya, dahulu saya
mengira zakat saham dengan melihat kepada nilai unit terendah. Maka,
bolehkah diperjelaskan kaedah pengiraan zakat saham pada hari ini?
Jawapan:
Terlebih dahulu, suka saya nyatakan bahawa jawapan ini disediakan
bagi khalayak pembaca awam yang tidak begitu arif tentang permainan
saham.
Ini kerana, saya difahamkan di Bursa Saham terdapat beberapa produk
yang terminologinya agak sukar difahami orang awam, seperti ekuiti,
derivatif, offshore, pasaran Islam (Islamic market) dan sebagainya. Oleh itu, bagi pembaca yang memang arif bab saham, maka anda boleh menyesuaikannya berdasarkan keadaan dan keperluan.
Umumnya ada tiga jenis saham yang dimiliki dan diceburi oleh kita pada hari ini.
Pertama, saham yang dilaburkan ke dalam Bursa Saham. Saham ini dijual
beli sepanjang tahun. Kedua, saham yang disimpan hingga ke hujung
tahun. Saham ini biasanya bersifat Saham Amanah dan penyimpan saham
mendapat untung berdasarkan harga saham pada hujung tahun berkenaan.
Ketiga, saham yang dilaburkan ke dalam syarikat, yakni orang yang
melaburkan saham atau pemodal itu dinamakan sebagai pemegang saham.
Mari kita selami satu demi satu. Pertamanya, bagi saham yang
dimainkan di Bursa Saham, maka zakat dikenakan berdasarkan keuntungan
yang diperolehi. Maknanya, bila dijual dan dapat keuntungan, maka keuntungan itulah
yang dizakatkan. Pokok saham (modal), hanya dikenakan zakat pada hujung
tahun sahaja. Maknanya di sini, saham yang dijual beli sepanjang tahun, pengiraannya adalah sama seperti zakat pendapatan.
Contoh: Puan Isma bermain saham di Bursa Saham Kuala Lumpur. Berikut
adalah paparan untung rugi transaksi saham beliau bagi tahun 2010. Kita
andaikan, Puan Isma sentiasa membeli saham (modal atau pokok) pada kadar
tetap RM10/Unit dan jumlah unit dimiliki beliau adalah 10,000 unit.
Transaksinya berlaku beberapa kali dalam setahun. Selepas membeli
saham, beliau menunggu hingga harga naik, dan ketika itu beliau
menjualnya. Namun, ada juga keadaan tertentu, Puan Isma rugi kerana
terpaksa menjual saham di bawah paras harga belian.
Hal ini boleh berlaku, demi mengelakkan kerugian yang lebih besar.
Berikut ini transaksi saham Puan Isma bagi tahun 2010 di Bursa Saham Kuala Lumpur.
Oleh itu, bagi tahun 2010, jumlah keuntungan keseluruhan bagi saham
Puan Isma adalah RM100,000. Oleh itu, zakat saham Puan Isma bagi tahun
2010 adalah, RM100,000 X 2.5 peratus sama dengan RM2,250. Manakala,
pokok atau modal saham beliau sebanyak RM100,000 hanya akan dikenakan
pada hujung haul, yakni RM100,000 X 2.5 peratus iaitu RM2,500.
Seandainya jualan pada 31 Dis. 2010 adalah rugi, misalnya seperti berikut:
* 31 Dis. 2010
* Jual RM9.50/Unit
* 10,000 X RM9.50 > RM95,000
* Baki selepas jualan> -RM5,000.
Maka, Puan Isma tidak dikenakan zakat ke atas baki jualan, namun dia
masih dikenakan zakat ke atas pokok saham atau modal saham yang
berjumlah RM9,500. Ini kerana, modal RM9,500 itu hakikatnya sudah setahun dimiliki,
yakni cukup haul dan ia wajib dizakatkan atas sandaran zakat wang yang
melebihi haul.
Walau bagaimanapun, hanya saham yang dilaburkan ke dalam kaunter
patuh syariah sahaja yang layak dizakatkan keuntungannya. Jika
dilaburkan dalam kaunter haram atau syubhah, maka hanya pokok atau modal
saham sahaja yang dikenakan zakat pada penghujung tahun berkenaan,
yakni keuntungannya tidak dizakatkan.
Kedua, saham yang disimpan sepanjang haul/tahun, maka hendaklah
diambil harga saham pada hujung haul (biasanya hujung tahun) berkenaan.
Ia tidak melihat kepada harga unit terendah saham sebagaimana yang
diamalkan sebelum ini.
Contoh: Jiwa membeli Saham Amanah pada 1 Januari 2010 dengan nilai
RM5/Unit. Jumlah keseluruhan saham beliau adalah 10,000 unit >
RM50,000. Pada hujung tahun 2010 (31 Dis. 2010), harga seunit ialah
RM5.50/ Unit. Maka, zakat saham Jiwa ialah, 10,000 unit X RM5.50 >
55,000 X 2.5% > RM1,375.
Seandainya pada hujung tahun itu harga seunit saham adalah lebih
rendah daripada harga belian, maka hendaklah dilihat sama ada masih
berada di atas paras nisab atau tidak. Jika masih melebihi nisab, maka
masih wajib dizakatkan.
Contohnya:
Harga belian 1 Jan 2010 > RM5/ Unit
Harga pada 31 Dis 2010 > RM4.50/ Unit
Jumlah saham > 10,000 unit
Maka, RM4.50 X 10,000 unit > RM45,000 dan hakikatnya pemilik saham rugi, kerana semasa belian dahulu nilainya RM50,000.
Namun, oleh kerana RM45,000 itu masih di atas paras nisab, maka
wajiblah ia dikeluarkan zakat, iaitu RM45,000 X 2.5 % > RM1,125.
Ketiga, saham yang dilaburkan dalam syarikat, yakni sebagai pemegang
saham. Maka, zakat di sini hendaklah dikeluarkan sebagai pemegang saham
berdasarkan kaedah kiraan zakat perniagaan. Kesimpulannya, ketiga-tiga
jenis saham ini mempunyai kaedah pengiraan yang tersendiri, sama ada
disandarkan kepada kaedah keuntungan, harga hujung tahun dan zakat
perniagaan. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment